Saturday, January 1, 2011

Sejarah Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha


Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha merupakan sebuah sekolah tertua di WP Labuan. Sekolah ini dibina dalam tahun 1962. Pada ketika itu bangunan ini terdiri daripada kayu, beratap daun nipah dan telah dibina oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Oleh itu sekolah ini disebut sebagai Sekolah Sukarela Rakyat atau Native Voluntary School (N.V.S) Rancha-Rancha.

Selepas itu pentadbiran sekolah ini diambil alih oleh kerajaan dan namanya ditukar kepada Sekolah Rendah Kerajaan dalam tahun 1963 iaitu setelah Sabah merdeka dalam Malaysia.

Kebanyakan pelajarnya adalah dari sekitar Kampung Rancha-Rancha dan Kampung Patau-Patau sahaja. Pada masa itu belum ramai penduduk dari luar Labuan jika dibandingkan sekarang.

Pada tahun 1969, bangunan sekolah ini telah diubahsuai dan mengandungi sebuah bilik darjah dan sebuah bilik guru. Bangunan ini diperbuat daripada kayu beratap zink dan berlantai simen.

Dalam tahun 1972, Jabatan Pendidikan Sabah telah meluluskn dan membina sebuah lagi bilik darjah bertingkap dan 4 unit tandas.

Memandangkan kedudukan sekolah terlalu hampir dengan jalanraya dan keselamatan murid-murid tidak terjamin maka Jabatan Pendidikan Sabah telah membina dua blok bangunan kayu di kawasan sekarang dan sebuah rumah guru pada pertengahan tahun 1984.

Pada bulan Oktober 1986 bangunan sekolah ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah Pendidikan Sabah, Dato Mahpur Bin Baba. Guru Besar sekolah pada ketika itu ialah Encik Awang Bin Panjang.

Awal tahun 1991, satu projek kilat telah diluluskan oleh Jabatan Pendidikan Sabah untuk membina satu blok mengandungi 4 buah bilik darjah dan 4 unit tandas. Dengan adanya pertambahan bangunan maka dapatlah menampung bilangan murid yang kian bertambah setiap tahun.

Bermula pada tahun 1992/1993, sekolah telah beroperasi dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang.